Sepintas lalu Telefon_bimbit_prabayar

Pengguna telefon bimbit prabayar boleh mengakses sebahagian besar perkhidmatan telefon bimbit jika tidak semua, walaupun caj yang dikenakan mungkin berbeza daripada pengguna telefon bimbit pascabayar.

Selain itu, baki kredit telefon bimbit prabayar boleh disemak dan ditambah nilai pada bila-bila masa. Antara kaedah menambah nilai baki kredit adalah:

  • menggunakan kad atau tiket tambah nilai (kaedah paling lazim) yang mudah didapati bukan sahaja di kedai telefon bimbit, malah turut dijual di kedai serbaneka dan sesetengah kedai runcit. Setiap kad tambah nilai mempunyai kod unik yang disembunyikan di sebalik panel gores dan nombor ini mesti dimasukkan untuk menambah baki kredit.
  • Kad kredit atau kad debit
  • secara terus dari akaun bank melalui penggunaan mesin ATM[1][2][3][4][5]
  • dari telefon bimbit lain dari rangkaian mudah alih yang sama, melalui perkhidmatan perkongsian baki kredit, biasanya digunakan di kalangan ahli keluarga atau sahabat handai.

Kredit yang dibeli mempunyai had masa, misalnya 90 hari selepas tarikh terakhir tambah nilai. Dalam kes sebegini, sebarang baki kredit akan luput selepas tempoh tersebut.

Pengguna prabayar tidak diwajibkan untuk menambah nilai kredit mereka. Oleh itu, untuk terus mengekalkan pendapatan, sesetengah pengendali mengadakan skim ganjaran untuk menggalakkan pengguna menambah nilai. Contohnya, Hotlink menggunakan sistem mata ganjaran kepada pengguna yang menambah nilai minimum RM30 sebulan yang boleh ditebus kepada nilai kredit panggilan atau unit SMS.

Tidak seperti perkhidmatan pascabayar, bukan mudah bagi pengendali untuk mengetahui pengguna yang berhenti menggunakan rangkaian mereka. Untuk membebaskan sumber rangkaian supaya boleh dikitar semula kepada pengguna baharu, pengendali akan menghapuskan nombor kad SIM yang tidak digunakan selepas tempoh tertentu serta menamatkan segala perkhidmatan yang dilanggannya. Biasanya, perkhidmatan akan ditamatkan jika pengguna tidak menambah nilai 6 bulan selepas tambah nilai terakhir.

Menjelang tahun 2003 bilangan akaun prabayar sudah melepasi bilangan akaun pascabayar, dan menjelang tahun 2007, dua pertiga daripada pengguna telefon bimbit adalah pengguna prabayar.

Berkaitan